Selamat datang ke blog Iban Kapit

SELAMAT melayari blog Iban Kapit. Blog ini lebih mengutamakan suara penduduk Kapit.
Impian serta harapan untuk mengejar arus pembangunan selari dengan penduduk di kawasan lain di Negeri ini.
Ia juga boleh dijadikan wadah untuk generasi muda masa kini membentangkan 'suara' mereka agar dapat diperdebatkan bersama dan dibawa ke pengetahuan pihak atasan atau mereka yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, diharap ia menjadi wadah terbaik untuk semua dan bukan sebagai lembaran untuk kita memburuk-burukkan, memfitnah atau 'menjahanamkan' orang lain.

Saturday, November 6, 2010

Siapa calon DUN Pelagus?

         PILIHAN Raya sudah semakin hampir. Ramai yang meramalkan, ia akan diadakan selepas Tahun Baru Cina, tahun depan. Namun yang tahu jawapannya hanyalah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri.
        Bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, ketika kawasan lain sibuk merencana apakah rancangan pembangunan untuk masa depan, di Pelagus, penduduknya masih tertanya-tanya siapakah akan diangkat sebagai calon di kawasan terbabit.
        Memang pada hakikatnya, pada masa ini ia masih disandang oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng Wei Shien. Tetapi setelah, Larry tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti, calon yang bakal dipilih di DUN Pelagus menjadi isu hangat serta bualan orang ramai, bukan sahaja di Kapit malah di seluruh Negeri ini.
        Hasilnya, dilontarkan pelbagai idea serta 'kemungkinan'. Timbul pelbagai ramalan antaranya: Larry menjadi calon terus daripada BN, atau Larry menjadi ahli kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan akan menjadi calon di kawasan SUPP (Meradong).
        Terdapat juga khabar angin, SUPP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) bertukar kawasan pilihan raya antara DUN Engkelili dengan DUN Pelagus.
        Semua itu khabar angin yang menjadi buah mulut rakyat. Tetapi ketika menerjah pemikiran serta penerimaan khasnya Larry sendiri dan Presiden PRS, Dato Sri Dr. James Jemut Masing. Jawapan mereka secara tidak langsung boleh memberi sedikit bayangan siapa yang akan menjadi calon di Pelagus kelak.
         Bagi Larry, beliau pernah menyuarakan, jika beliau di beri peluang untuk menjadi calon di Meradong. Adalah lebih baik beliau mengundur diri dari arena politik kerana merasakan peluang untuk beliau menang di Meradong adalah agak tipis.
         Mengimbau kembali apa yang pernah disuarakan oleh Ketua Menteri pula, beliau berkata, Negeri ini begitu memerlukan seorang wakil rakyat dari kaum Cina seperti Larry yang masih muda dan agersif. Alasannya, kerana pada masa ini tidak ramai wakil rakyat yang muda seperti Larry pada masa ini.
         Tetapi pada masa yang sama, pandangan serta senario politik dalam PRS juga tidak patut dilupakan dan perlu diambil kira. Presiden PRS, Dr. Masing dengan jelas memberitahu, kawasan DUN Pelagus adalah satu daripada Sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada PRS. Oleh itu tegasnya, calon yang dipilih hendaklah kalangan ahli PRS.
         Malah pernah Dr. Masing menyuarakan, selagi beliau menjadi Presiden, beliau akan memastikan calon yang dipilih menjadi calon di DUN Pelagus adalah kalangan ahli PRS.
        Yang pasti rakyat terus tertanya-tanya. Lebih teruk lagi rakyat yang menjadi mangsa kepada 'permainan' politik seperti itu. Rakyat pada keseluruhannya sering menjadi mangsa. Mana tidaknya, kalau asyik memikirkan atau bergolak soal parti, bila hendak memikirkan soal pembangunan.
        Baru-baru ini, ADUN Engkelili, Jornical Rayong telah mengumumkan diri menjadi ahli SUPP. Ia membayangkan kepada rakyat bahawa segalanya ada kemungkinan. 
         Apa yang pasti, jawapannya tunggu sahaja bila sudah dekat hendak pilihan raya. Atau lebih tepat lagi tunggu sahaja senarai nama calon yang akan diumumkan oleh Ketua Menteri kelak.
         Sementara itu, penduduk di Pelagus 'makan sahaja panadol' dan jangan tersilap langkah dalam berpolitik. Kerana sebagai rakyat biasa kita senang sekali untuk dipersalahkan dan ditekan.

  


2 comments:

  1. Calon Pelagus waktu ini masih lagi Larry Sng... dan pilihan raya negeri yg bakal menjelma nt biarlah CM (Bos BN Sarawak)yang menentukan. Cuma perlu dan berharap rakyat yang tahu memilih calon nanti... kerana yang penting ialah pembangunan dan kemajuan diutamakan.

    ReplyDelete
  2. The Utusan Subis: Benar tetapi, apalah sangat pembangunan kalau projek jalan kampung atau paip air. Di kawasan luar bandarlah. Yang diharapkan dan perlu direnung serta dirancang oleh kerajaan adalah rancangan pembangunan jangka panjang.

    ReplyDelete