Selamat datang ke blog Iban Kapit

SELAMAT melayari blog Iban Kapit. Blog ini lebih mengutamakan suara penduduk Kapit.
Impian serta harapan untuk mengejar arus pembangunan selari dengan penduduk di kawasan lain di Negeri ini.
Ia juga boleh dijadikan wadah untuk generasi muda masa kini membentangkan 'suara' mereka agar dapat diperdebatkan bersama dan dibawa ke pengetahuan pihak atasan atau mereka yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, diharap ia menjadi wadah terbaik untuk semua dan bukan sebagai lembaran untuk kita memburuk-burukkan, memfitnah atau 'menjahanamkan' orang lain.

Sunday, November 14, 2010

Korban demi pembangunan!

          KERAJAAN sering menguar-uarkan, pembangunan memerlukan pengorbanan. Atau dalam erti kata lain, rakyat menjadi mangsa.
         Ketika sebahagian rakyat menentang, bukan bermakna mereka menentang atau tidak mahukan pembangunan. Tetapi, bila pembangunan itu tidak diambil kira secara menyeluruh kesannya yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa.
        Perkara tersebutlah yang terjadi kepada masyarakat di Kapit dan Belaga, akibat kesan pembinaan Empangan Hidro Elektrik Bakun. Pada hakikatnya, memang projek tersebut memberi faedah pada negeri dan rakyat pada keseluruhannya pada jangka masa panjang.
       Tetapi pada masa ini, seperti penduduk di Belaga ramai yang hilang punca pendapatan, industri pelancongan yang memberi sumber rezeki kepada sesetengah penduduk dan peniaga di Pekan Belaga telah merundum dengan teruk. Ia gara-gara air sungai Batang Rajang yang cetek melampau sehingga perkhidmatan ekspres terpaksa diberhentikan sama sekali. 
       Pelancong yang mahu datang ke Pekan Belaga atau ke Bakun, hanya menggunakan jalan pengangkutan darat dari Bintulu yang memakan kos tinggi serta agak berbahaya.
      Penduduk pula terpaksa membayar tambang yang mahal jika mahu turun ke Bandar Bintulu bagi membeli barangan. Bagi penduduk di sepanjang Sungai Batang Rajang pula terutamanya mereka yang tinggal di bahagian hilir Pekan Belaga terus ke Jeram Pelagus.
      Selain daripada menggunakan jalan alternatif iaitu jalan kem pembalakan (harus diingat cuma beberapa kawasan sahaja yang dapat dihubungkan dengan jalan kem pembalakan), penduduk terpaksa menggunakan bot atau perahu panjang meredah Jeram Pelagus.
      Tambang dan kos pengangkutan sudah pasti tinggi. Semua ini gara-gara pihak pengurusan Empangan Bakun yang terlampau tamak menakung air, sehingga tidak melepaskannya. 
      Gara-gara tindakan berkenaan, rakyat menjadi mangsa. Apa yang menjadi persoalan, sepatutnya kerajaan harus memikirkan semua itu, dan tidak hanya selepas mendengar rintihan rakyat baru mahu bertindak. 
       Apabila rakyat menyuarakan bantahan, mereka pula dikatakan sebagai anti pembangunan dan lebih teruk lagi dikatakan sebagai tiodak menyokong kerajaan. Renung-renungkan!

No comments:

Post a Comment