Selamat datang ke blog Iban Kapit

SELAMAT melayari blog Iban Kapit. Blog ini lebih mengutamakan suara penduduk Kapit.
Impian serta harapan untuk mengejar arus pembangunan selari dengan penduduk di kawasan lain di Negeri ini.
Ia juga boleh dijadikan wadah untuk generasi muda masa kini membentangkan 'suara' mereka agar dapat diperdebatkan bersama dan dibawa ke pengetahuan pihak atasan atau mereka yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, diharap ia menjadi wadah terbaik untuk semua dan bukan sebagai lembaran untuk kita memburuk-burukkan, memfitnah atau 'menjahanamkan' orang lain.

Monday, November 8, 2010

Lembaran nasib penduduk Pelagus.

         KETIKA kebanyakan kawasan lain sibuk merancana pembangunan. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelagus pula 'sibuk' dalam dua perkara atau isu.
         Pertamanya; Sibuk hendak membangunkan rakyat. Keduanya; Sibuk pula memikirkan siapakah calon yang bakal diangkat di Pelagus.
         Apa yang pasti, masa ini sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Larry Sng Wei Shien masih kuat di Pelagus. Sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) banyak yang telah disumbangkan oleh Larry Sng.
        Projek pembangunan seperti bekalan air, jalan kampung atau rumah panjang dan sebagainya, ramai penduduk telah menikmatinya. Bantuan pendidikan juga banyak membantu anak-anak penduduk di Kapit yang hendak melanjutkan pendidikan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
       Tetapi setiap orang atau pengundi mempunyai 1001 alasan untuk tidak menyokong atau menyokong kerajaan. Oleh itu, diharap ketika pilihan raya kelak, pengundi di Pelagus mampu membuat pilihan dan keputusan terbaik.

Teka teki hampir terjawab!

         SEMALAM, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr. James Jemut Masing telah mengumumkan, bahawa kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelagus hanya untuk ahli dari kalangan ahli parti PRS.
        Walaupun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus ketika ini, Larry Sng Wei Shien menjadi ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) beliau tetap tidak akan dipilih menjadi calon pada pilihan raya akan datang untuk mempertahankan kerusi N.54 Pelagus.
        Jawapannya mudah sahaja menurut Dr. Masing, N.54 Pelagus kerusi PRS, Larry Sng pula tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti dan DUN Pelagus majoritinya kaum Iban, jadi wajarlah kaum Iban yang menjadi calon di kawasan terbabit.
        Jawapan yang agak pasti, kalau Larry Sng mahu menjadi calon di Pelagus, cuma satu sahaja jalannya iaitu menggunakan tiket bebas atau sebagai calon pembangkang. (Kalau bersandarkan kepada pendirian Dr. Masing).
        Jika sekiranya, Larry Sng masih mahu menjadi calon BN, dengan penerimaannya sebagai ahli dalam SUPP kelak (jika menjadi kenyataan), beliau hanya boleh menjadi calon di kawasan SUPP.
       Dahulu, pernah  timbul kenyataan tentang hasrat pertukaran kawasan pilihan raya. Tetapi kini, Dr. Masing dengan tegas memberitahu, beliau pernah membuka ruang untuk perundingan bagi tujuan itu.
         Tetapi, beliau mendakwa SUPP tidak berapa berminat dengan semua itu, dan akhirnya 'pintu' untuk rancangan pertukaran berkenaan tertutup pada Disember tahun lepas.
        Setakat ini, pembaca sendirilah yang harus menilai: Apakah nasib Larry Sng?.
       Cuma harapan kita, dengan penduduk di Pelagus masih mahukan Larry Sng, Negeri pula masih menuntut dan memerlukan tenaga muda serta wakil kaum Cina. Kita harap nasib Larry Sng tidaklah seperti kata-kata pepatah "Si Luncai dengan Labu-Labunya".

     

Sunday, November 7, 2010

  Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Pembangunan 
Perindustrian (Perancangan), Hal Ehwal Belia dan Latihan Belia

Saturday, November 6, 2010

Siapa calon DUN Pelagus?

         PILIHAN Raya sudah semakin hampir. Ramai yang meramalkan, ia akan diadakan selepas Tahun Baru Cina, tahun depan. Namun yang tahu jawapannya hanyalah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri.
        Bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, ketika kawasan lain sibuk merencana apakah rancangan pembangunan untuk masa depan, di Pelagus, penduduknya masih tertanya-tanya siapakah akan diangkat sebagai calon di kawasan terbabit.
        Memang pada hakikatnya, pada masa ini ia masih disandang oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng Wei Shien. Tetapi setelah, Larry tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti, calon yang bakal dipilih di DUN Pelagus menjadi isu hangat serta bualan orang ramai, bukan sahaja di Kapit malah di seluruh Negeri ini.
        Hasilnya, dilontarkan pelbagai idea serta 'kemungkinan'. Timbul pelbagai ramalan antaranya: Larry menjadi calon terus daripada BN, atau Larry menjadi ahli kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan akan menjadi calon di kawasan SUPP (Meradong).
        Terdapat juga khabar angin, SUPP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) bertukar kawasan pilihan raya antara DUN Engkelili dengan DUN Pelagus.
        Semua itu khabar angin yang menjadi buah mulut rakyat. Tetapi ketika menerjah pemikiran serta penerimaan khasnya Larry sendiri dan Presiden PRS, Dato Sri Dr. James Jemut Masing. Jawapan mereka secara tidak langsung boleh memberi sedikit bayangan siapa yang akan menjadi calon di Pelagus kelak.
         Bagi Larry, beliau pernah menyuarakan, jika beliau di beri peluang untuk menjadi calon di Meradong. Adalah lebih baik beliau mengundur diri dari arena politik kerana merasakan peluang untuk beliau menang di Meradong adalah agak tipis.
         Mengimbau kembali apa yang pernah disuarakan oleh Ketua Menteri pula, beliau berkata, Negeri ini begitu memerlukan seorang wakil rakyat dari kaum Cina seperti Larry yang masih muda dan agersif. Alasannya, kerana pada masa ini tidak ramai wakil rakyat yang muda seperti Larry pada masa ini.
         Tetapi pada masa yang sama, pandangan serta senario politik dalam PRS juga tidak patut dilupakan dan perlu diambil kira. Presiden PRS, Dr. Masing dengan jelas memberitahu, kawasan DUN Pelagus adalah satu daripada Sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada PRS. Oleh itu tegasnya, calon yang dipilih hendaklah kalangan ahli PRS.
         Malah pernah Dr. Masing menyuarakan, selagi beliau menjadi Presiden, beliau akan memastikan calon yang dipilih menjadi calon di DUN Pelagus adalah kalangan ahli PRS.
        Yang pasti rakyat terus tertanya-tanya. Lebih teruk lagi rakyat yang menjadi mangsa kepada 'permainan' politik seperti itu. Rakyat pada keseluruhannya sering menjadi mangsa. Mana tidaknya, kalau asyik memikirkan atau bergolak soal parti, bila hendak memikirkan soal pembangunan.
        Baru-baru ini, ADUN Engkelili, Jornical Rayong telah mengumumkan diri menjadi ahli SUPP. Ia membayangkan kepada rakyat bahawa segalanya ada kemungkinan. 
         Apa yang pasti, jawapannya tunggu sahaja bila sudah dekat hendak pilihan raya. Atau lebih tepat lagi tunggu sahaja senarai nama calon yang akan diumumkan oleh Ketua Menteri kelak.
         Sementara itu, penduduk di Pelagus 'makan sahaja panadol' dan jangan tersilap langkah dalam berpolitik. Kerana sebagai rakyat biasa kita senang sekali untuk dipersalahkan dan ditekan.

  


Kemana suara orang Kapit?

Ketika Iban Kapit menyertai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), setelah beberapa penggal. Agak menghairankan, tiada terdengar suara wakil dari Kapit bersuara minta bantuan dan peruntukan daripada kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur.
Tiada juga kedengaran suara 'salakan' wakil dari Kapit yang memohon peruntukan untuk projek pembangunan jangka panjang. Jawapannya, mudah bagi sebahagian mereka yang tahu serba sedikit dalam hal persidangan dewan. Menteri atau menteri muda hanya menjawab soalan. Atau "Tidak baik membuat aduan atau membuka pekung didada kerajaan sebagai seorang menteri atau menteri muda".
Tetapi selain itu, bagi sesetengah wakil rakyat memangpun tidak pernah didengar bersuara. (tak payah hendak menyatakan namanya di sini).
Sebenarnya kita memerlukan seorang yang boleh bersuara, berani demi menegakkan kepentingan rakyat. Seperti Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, kalau Datuk hanya "memikirkan kantung diri" tentu beliau tidak bersuara hal sedemikian. Tetapi sebagai seorang yang benar-benar berjuang untuk rakyat, beliau tidak kira semua itu dan tetap menyuarakannya.
Hasilnya, dapat juga peruntukan RM8 juta untuk membina jalan dari Kaki Wong ke Pala Wong bagi menggelak penduduk di Kapit meredah jeram Pelagus yang telah sedia maklum telah membunuh begitu ramai nyawa. Datuk Alexander jugalah yang telah berjuang tidak putus-putus untuk memohon peruntukan bagi membina jalan dari Konawit ke Kapit. Ia juga telah diluluskan.
Wakil rakyat seperti inilah yang wajar untuk terus disokong oleh kita.

Friday, November 5, 2010

Puas nyalak!

Penduduk di Kapit, biasanya. Kerajaan akan hanya mengambil tindakan setelah "sudah terhantuk". Hanya setelah Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi membuat komen berkenaan janji kerajaan membina jalan dari 'Kaki Wong' ke 'Pala Wong' untuk menjamin keselamatan penduduk yang terpaksa menyabung nyawa melelui Jeram Pelagus.
Peruntukan sebanyak RM8 juta untuk jalan sementara sepanjang empat kilometer telah diluluskan dengan kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan seberapa segera.
Tetapi ironinya, ia hanya hendak dibina setelah penduduk di Kapit terpaksa melalui Jeram Pelagus ketika keadaan paras air sungai Batang Rajang cetek 'melampau'. Harus di ingat, tidak salah menunding jari ia disebabkan oleh Empangan Bakun.
Tetapi disebalik semua itu, tidak ramai menyedari akibat daripada komen oleh wakil rakyat kita. Komen beliau tidak disenangi oleh beberapa orang pemimpin terutamanya mereka yang terlibat secara tidak langsung dalam hal jalan atau lebih tepat lagi mereka yang dilantik sebagai Menteri Infrastruktur.
Itulah nasib wakil rakyat kita. Tidak bersuara rakyat marah, bersuara ditekan oleh pemimpin lain pula. Tersepit antara rakyat dan pemimpin.

thanks

RM60 juta untuk sukat NCR

Kerajaan memperuntukan RM60 juta untuk menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk tempoh 2011 hingga 2012.
Sebelum ini, tahun ini sahaja kerajaan memperuntukan RM20 juta untuk tujuan yang sama bagi menyukat dan menyelesaikan masalah NCR di 27 kawasan di negeri ini.
 Ia berita yang begitu mengembirakan bagi kita di kawasan luar bandar. Terutamanya di Kapit, tidaklah tanah kita di ambil secara percuma atau bermasalah pada masa akan datang.
Tetapi masyarakat kita, kadang-kadang masa menyukat sudah bergaduh sesama sendiri berkenaan kawasan tanah masing-masing. Ia kadang kala menyebabkan proses penyukatan semakin rumit dan mengambil masa.
Apa yang pasti, kita harap bagi kita di Kapit, tanah temuda kita turut di sukat. kalau boleh ada surat hak milik.
Tidaklah, kita suatu hari nanti terpaksa bergadai nyawa demi mempertahankan tanah temuda kita.