Selamat datang ke blog Iban Kapit

SELAMAT melayari blog Iban Kapit. Blog ini lebih mengutamakan suara penduduk Kapit.
Impian serta harapan untuk mengejar arus pembangunan selari dengan penduduk di kawasan lain di Negeri ini.
Ia juga boleh dijadikan wadah untuk generasi muda masa kini membentangkan 'suara' mereka agar dapat diperdebatkan bersama dan dibawa ke pengetahuan pihak atasan atau mereka yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, diharap ia menjadi wadah terbaik untuk semua dan bukan sebagai lembaran untuk kita memburuk-burukkan, memfitnah atau 'menjahanamkan' orang lain.

Sunday, November 14, 2010

Kerugian jutaan ringgit akibat "Tsunami balak"?

        KETIKA kejadian 'Tsunami balak" kerajaan telah mengumumkan kerugian dialami oleh penduduk rumah panjang akibat banyak jeti yang rosak teruk atau roboh akibat terkena rempuhan bertan-tan kayu balak dari hulu sungai Baleh.
        Menyedihkan, itu yang kerajaan nampak. Tetapi kerugian lain kesan daripada bencana alam itu kurang diambil peduli. Ramai penduduk di Kapit atau sepanjang Sungai Baleh mempersoalkan tentang kerugian yang mereka alami akibat kejadian tersebut. 
       Terutamanya bagi penduduk yang mengharapkan hasil daripada menangkap ikan sebagai punca pendapatan. Ketika kejadian berkenaan. Akibat air yang terlampau berlumpur, begitu banyak ikan mati. Penduduk seolah-olah berpesta mengumpul ikan yang mati.
       Ikan seperti, Labang, Tengadak, Loyan, Empurau, Baong dan sebagainya banyak yang dapat ditangkap oleh penduduk. Ramai penduduk yang menggunakan lampu suluh untuk mencari  ikan yang sama ada tercunggap-cunggap atau mati akibat air yang berlumpur. 
       Bila dibuka dibahagian insang ikan terbabit, ia dipenuhi dengan tanah. Tetapi apabila dijual, ia tidak berharga seperti yang sepatutnya kerana terlampau banyak ikan yang ditangkap. 
       Bayangkan bagi ikan Empurau, antara spesies ikan termahal, kebiasaannya dibeli pada harga RM450 sekilogram. Tetapi pada masa itu, ia hanya dibeli pada harga RM100 sekilogram.
       Itu cuma kerugian jangka pendek yang kita dapat lihat. Tetapi kerugian jangka panjang bagi penduduk yang menjadi nelayan, sukar hendak digambarkan. Dengan ribuan ikan mati, pasti punca pendapatan mereka terjejas. Semua itulah yang kurang diambil perhatian oleh pihak berwajib.
      Apa pun, sekali lagi kita renungkan bersama?

No comments:

Post a Comment